Monday, 13 October 2014

Usahawan Berjaya di Malaysia (Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary)


Tujuan saya memilih usahawan berikut adalah disebabkan oleh keazamaannya yang kuat dan beliau berani dan pandai mencari peluang di dalam bidang perniagaan. Banyak iktibar yang boleh dipelajari daripada kerjaya beliau.
 
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary adalah seorang usahawan Melayu terkaya di Malaysia. Beliau digelar sebagai Wira Dermawan Asia hasil projek dan aktiviti kebajikan yang dilakukan oleh beliau sepanjang kerjayanya. Tan Sri Syed Mokhtar  juga merupakan Tokoh Melayu Terbilang 2009 dan diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Berikut merupakan antara progres perniagaan dan kerjayanya.
Pada mulanya, Tan Sri Syed Mokhtar menjalankan penanaman sayuran dengan ibunya di kampung halamannya iaitu Alor Setar, Kedah untuk menampung keluarganya. Beliau juga terlibat dalam penjualan roti canai yang merupakan sebahagian daripada perniagaan keluarganya. Selepas itu, Tan Sri Syed Mokhtar  membantu bapanya dalam pengusahaan penternakan lembu dan kerbau. Malang tidak berbau, wabak melanda dan menyebabkan perniagaan tersebut terpaksa diberhentikan.
Selepas kejadian wabak yang teruk tersebut, beliau mengambil alih pernigaan penternakan kepunyaan bapanya. Beliau beralih kepada pengusahaan daging lembu dan kerbau pada sekitar tahun 1970 selepas mengambil peperiksaaan Sijil Penilaian Menengah (SPM). Perniagaan tersebut amat berjaya dan meningkatkan keyakinan dan pengalamannya dalam bidang perniagaan. Kemudian, beliau melibatkan diri dalam bidang pengangkutan pula. Pada mulanya, beliau memperolehi pinjaman dana daripada MARA.
Tan Sri Syed Mokhtar membeli beberapa buah lori dan menubuhkan syarikat pengangkutan yang dinama Syarikat Pengangkutan Sentosa. Lori-lori kepunyaannya digunakan kemudian dalam perniagaan beras yang baharu. Syarikat Shah ditubuhnya pada tahun 1975 dan beliau berjaya mendapat lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara (BERNAS). Syarikat beliau membekalkan beras kepada pihak FELDA, MARA SENAMA, Pernas Edar dan Sergam Sdn Bhd.
Selain perniagaan daging, pengangkutan dan beras, beliau juga menubuhkan syarikat bersama 2 orang peniaga Cina iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Beliau memegang 52% saham majority dalam syarikat tersebut yang dinamakan Bukhary Sdn Bhd pada 15 Julai 1976. Melalui Bukhary Sdn Bhd, Tan Sri Syed Mokhtar  mengembangkan perniagaannya ke perniagaan gula. Pada sekitar tahun 1977, Bukhary (KL) Sdn Bhd ditubuhkan oleh beliau. Syarikat tersebut diberikan kontrak untuk membekalkan beras, teh, tepung  coklat, tepung susu dan juga minyak sapi kepada kerajaan.
Usaha beliau dalam bidang perniagaan sememangnya menakjubkan. Bukan itu sahaja, beliau juga menubuhkan Susu Mas Sdn Bhd dan menjalankan usahasama dengan syarikat New Zealand Milk Products. Beliau memegang 51% daripada usahasama tersebut. Malangnya pada tahun 1985, beliau menjualkan kepentingannya dalam Susu Mas kerana kemelesetan ekonomi. Berkat dan tuah Tan Sri Syed Mokhtar berterusan selepas beliau menyertai Ekspo Perdagangan Canton, China. Beliau menjalankan sistem barter dengan pihak peniaga dari China. Beliau menukar koko Malaysia dengan teh dari China.
Tan Sri Syed Mokhtar menjejak bidan pembuatan selepas itu. Beliau mendapat kontrak pembuatan pakaian seragam tentera daripada Kementerian Pertahanan. Beliau menubuhkan Amtek Holdings yang membekalkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division yang membekalkan pakaian seragam tentera. Apabila Amtek Holdings disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian untuk membeli Spark Manshop. Beliau memperolehi hak memperbuat dan memasarkan pakaian jenama Crocodile. Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut tentera (Amtek Shoes) dan pakaian berjenama Lee Coopers dan Lois (Amtek Garments Sdn. Bhd.) bagi pasaran eksport.
Tan Sri Syed Mokhtar juga melibatkan diri dalam bidang perkapalan. Beliau menubuh Bukhari Shipping dan menjadi broker kapal di bawah polisi CABOTAGE daripada Perbendaharaan Malaysia. Beliau membeli sebuah kapal buatan Jerman yang bernilai USD1 juta. Kapal tersebut dinama Angsa Mas dan mengangkut beras dari Thailand ke Sabah dan Sarawak. Akan tetapi perniagaan tersebut mengalami kerugian teruk dan beliau terpaksa menjualkan kapal tersebut dengan nilai USD600 000.
Beliau melibatkan diri di dalam bidang pembangunan hartanah. Beliau membeli bidang tanah di Alor Setar dan mengusahakan beberapa projek perumahan di bawah Syarikat Bukhary Development. Selepas Dasar Penswastaan diperkenalkan, beliau membeli Johor Port melalui tender bernilai RM330 juta menerusi menerusi program penswastaan lalu menjayakan pelabuhan Tanjung Pelepas. Tan Sri Syed Mokhtar juga membeli Johor Tenggar Oil Palm yang bernilai RM135 juta. Apabila bekalan air diswastakan, beliau menubuhkan syarikat usahasama Equiventure Sdn. Bhd. dengan Kembangan Dinamik (49 %) dan Pilecon Bhd. serta syarikat Perancis, Oneo.
Selepas berbagai-bagai jenis perniagaan yang diceburi beliau, Tan Sri Syed Mokhtar juga membeli MMC Corporation yang merupakan syarikat kejuruteraan dengan nilai RM3 sesaham daripada Permodalan Nasional Berhad. Beliau memperolehi kontrak untuk membina lebuh raya pantai timur. Kemudian, beliau, menubuhkan DRB-Hicom Bhd dan membeli syarikat kereta lotus dari Proton yang bernilai RM1.29 bilion. Kini, DRB-Hicom miliki 32.21% dalam Pos Malaysia Bhd.
Berikut merupakan antara pemilikan saham Tan Sri Syed Mokhtar:
  1. Malakoff Berhad (22.7%) 
  2.  IJM Corporation (20%)
  3. Benas (18%)
  4. Pernas International Holdings Berhad (32%)
  5. Fiamma Holdings Berhad (18.7%)
  6. MPH (kepentingan  100%)

5 Nasihat Tan Sri Syed Mokhtar
  1. Jangan terlibat di dalam perniagaan berbentuk Ali-Baba. Orang Melayu mengambil ekuiti yang diperuntukkan kepada mereka, dan kemudiannya menjual kepada orang Cina dengan harga yang lebih tinggi. Melayu terbabit hanya terlibat dalam perniagaan pada nama sahaja, realitinya yang menjalankan perniagaan tersebut ialah orang Cina. Contoh seperti pajak permit & lesen, dan IPO.
  2. Sebagai peniaga, adalah penting untuk tidak sekadar menjadi budak suruhan sahaja. Perlu ada inovasi dan sentiasa memajukan diri dan perniagaan. Daripada pembekal menjadi pengeluar (industri pembuatan).
  3. Jangan sekali-kali melakukan sesuatu di luar kemampuan kewangan anda.
  4. Buat dahulu, bercakap kemudian.
  5. Kekayaan mesti diagih. Apabila anda membuat wang, anda juga harus memberi.
 
Sumber maklumat dan maklumat lanjut Tan Sri Syed Mokhtar:

No comments:

Post a Comment