Wednesday, 15 October 2014

Konsep Pembangunan Blog



Kini, terdapat banyak jenis blog yang boleh kita dapati dari Internet. Blog merupakan sejenis catatan diari individual atau organisasi yang popular dalam kalangan masyarakat dari seluruh pelosok dunia.  Namun, hanya blog yang berguna dan mempunyai nilai tambah kepada pembaca yang dapat menarik perhatian orang ramai. Antara blog yang mampu menjadi perhatian pembaca adalah blog yang:

  • Topik yang sesuai – Topik yang dipilih mestilah sama ada diminati ataupun merupakan antara kepakaran/kemahiran seseorang blogger.
  • Tentukan jenis pembaca – Sekiranya anda menulis mengenai topik persekolahan, tentulah pembaca anda merupakan sama ada pelajar, cikgu atau pendidik. Menentukan jenis pembaca yang tepat akan membantu dalam penulisan catatan yang padat dan menarik.
  • Nilai Tambah – Blog anda perlulah mempunyai nilai tambah kepada pembaca. Contohnya, blog anda yang bertajuk penanaman bunga maka pembaca seharuslah mendapat pengetahuan atau pembukaan minda tentang penanaman bunga dari blog anda. Anda boleh menambah gambar atau video sendiri atau dari pautan laman web lain sebagai penarik perhatian.
  • Kelainan – Kandungan blog anda seharuslah lain daripada yang lain. Inilah yang menjadi tumpuan pembaca. Blog anda harus mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
  • Mudah dan jelas – Blog anda seharusnya kelihatan jelas dan mudah dibaca. Catatan blog dan reka bentuk blog mestilah selesa dibaca. Iklan dan reka bentuk yang melampau tidak sepatutnya diletak dalam blog dan menyukarkan penglihatan pembaca.
  • Gambar – Gambar anda seharusnya disertakan bersama profil anda di dalam blog. Ini adalah untuk memudahkan pembaca untuk mengenali anda dan mengingati dengan lebih baik.
  • Negativiti – Elakkan daripada isu-isu sensitif seperti isu perkauman, jantina, kritik atas isu politik yang melampau. Anda tidak haruslah menyinggung blogger yang lain juga. Sekiranya terdapat komen atau persoalan yang negatif atau anda rasa tersinggung, jangan meneruskan perbincangan dengan orang tersebut, buangkan ulasan tersebut.

Konsep Asas Blog
Konsep asas blog ini adalah sebagai sebuah blog yang informatif dan kreatif dari segi kepadatan maklumat dan juga reka bentuk. Blog ini diubahsuai dengan kesederhanaan yang sesuai untuk setiap jenis pembaca. Konsep blog ini juga termasuklah bahasa yang mudah, gambaran atau grafik yang umum dan ulasan yang mudah difahami. Terdapat amat banyak catatan blog mengenai isu-isu keusahawanan. Terdapat juga pautan kepada artikel-artikel yang menarik dari seluruh pelosok dunia.


Tujuan Pembangunan Blog
Tujuan blog ini dibangunkan adalah untuk menyebarkan lebih banyak maklumat yang berkaitan dengan bidang keusahawanan. Selain bidang keusahawanan, terdapat juga banyak maklumat lebihan yang boleh membantu seseorang pembaca dengan lebih memahami bidang perniagaan. Blog ini mempunyai pautan ke pelbagai laman web di mana pembaca boleh mendapati maklumat mengenai usahawan yang berjaya bukan sahaja di Malaysia malah seluruh negara.
Blog ini juga bertujuan untuk dijadikan sebagai satu platform bagi orang ramai untuk berbincang dan saling menukar pendapat tentang isu-isu semasa dan isu keusahawanan. Terdapat ruangan yang disediakan untuk pembaca menulis ulasan atau komen mengenai catatan blog. Dengan ini, blog bukan sahaja menyebarkan maklumat malah menjadi tempat di mana pembaca yang mempunyai minat yang sama saling bersosial dan bertukaran pendapat.



Sumber Idea Pembangunan Blog
Blog ini bukanlah ditubuhkan dengan begitu sahaja. Pada asalnya, blog ini hanya merupakan diari peribadi saya mengenai maklumat dan aktiviti harian saya sahaja. Melalui subjek Gelagat dan Pemikiran Usahawan (BPME 2013), saya berasa bahawa terdapat banyak maklumat yang boleh saya berkongsi dengan pembaca lain termasuklah pelajar sekelas, pensyarah, rakan-rakan dan juga orang awam. Hasil pembelajaran daripada subjek keusahawanan pada semester sebelumnya juga banyak menyumbang idea bagi penyempurnaan blog ini.

Sasaran Pembaca
Sasaran pembaca yang ditetapkan mesti termasuklah pelajar yang sekelas, pensyarah subjek dan juga rakan-rakan. Selain itu, pelajar yang mengambil jurusan keusahawanan adalah amat sesuai dijadikan sebagai sasaran pembaca kerana terdapat banyak catatan blog yang berguna mengenai titik permulaan usahawan yang berjaya dan juga kisah perniagaan mereka yang boleh dijadikan pengajaran. Disebabkan tetapan blog ini dijadikan sebagai blog awam, maka sesiapa juga boleh mencari blog ini daripada Internet dan membaca serta memberi ulasan.



No comments:

Post a Comment